Created by MyFitnessPal - Free Weight Loss Tools

2/24/11

Jodoh: Mencari atau Menunggu

Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya, "Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu di sini.

Ramai yang keliru

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?

Jodoh – suatu ketentuan?

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3]

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir(Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk -semuanya dari Allah jua."

Lelaki itu berkata: "Tuan benar."

[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?

Usaha yang sebenarnya

Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - [HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

Jika sudah mampu

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.

Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - [Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.

Jika redha Allah yang dicari...

Sudah nampak apa yang harus dilakukan?

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'couple', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).

Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'couple'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]

- Artikel iluvislam.com

2/21/11

Apabila Yang Simple Jadi Bersimpul

Bertahun dahulu, di tempat kerja saya yang lama, saya bertanya seorang teman, "Jam berapa engkau sampai ke pejabat?"

Jawabnya, "Malam tadi aku tidur lewat sebab tengok bola. Pagi tadi aku terbangun lewat sebab bini aku tak kejutkan aku. Jalan ke pejabat jam sebab ada kemalangan. Kereta aku pulak semput dan mati enjin di tengah jalan..."

Keterangannya saya pintas dengan soalan, "Aku hanya nak tahu jam berapa engkau sampai ke pejabat. Itu aje!"

Perbualan di atas benar-benar terjadi. Ia menggelikan hati apabila saya teringat mengenainya. Ada orang suka bercakap lebih daripada yang sepatutnya. Mungkin, orang begini biasa menjawab soalan yang pendek dengan jawapan yang panjang kerana inginkan markah yang lebih ketika menjawab soalan peperiksaan. Tetapi, ia juga menggambarkan seseorang yang menyukarkan perkara yang mudah.

Mengapa kita perlu menyuap nasi dengan mengangkat tangan kanan ke belakang tengkuk untuk menyuap ke kiri mulut? Bukankah mudah jika kita terus menyuap nasi dari pinggan terus ke mulut? Sikap sesetengah daripada kita yang membelit sesuatu yang lurus ini memang pelik.

Meskipun ia bukan satu penyakit, namun jika direnungi, sikap menyukarkan perkara yang mudah itu adalah satu bentuk pembaziran masa, tenaga dan wang. Sebagai contoh, kita membazir masa dengan memanjang dan meleretkan percakapan. Dalam sesebuah majlis, kita yang memberi ucapan akan menyebut kesemua mereka yang kita anggap sebagai hadirin yang penting.

Kalau boleh, kesemua mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk dan Datin disebut. Masalahnya, bila kita menyebut nama dan gelaran seseorang, kita khuatir mengecilkan hati orang yang tidak kita sebut. Akhirnya kita menyebut nama kesemua dif kehormat yang ada di pentas. Sepuluh minit terbuang begitu sahaja.

Walhal, jika kita memulakan ucapan dengan menyebut nama pengerusi majlis dan merangkumkan kesemua para dif kehormat sebagai para hadirin, itu sudah memadai dan tiada nama sesiapa pun yang tidak disebut atau tersasul gelarannya. Dengan cara itu, kita telah menjimatkan sepuluh minit dan tumpuan para hadirin dapat dikekalkan.

Sesuatu majlis yang seharusnya ringkas biasanya akan menjadi meleret-leret dengan upacara. Pemimpin yang datang untuk merasmikan majlis masih lagi diarak, dikompang dan dikepung dengan bunga manggar. Itu belum termasuk memotong riben ataupun menetak ais untuk mengeluarkan sebuah produk yang dilancarkan. Ais situ sendiri lebih gah daripada produk yang dilancarkan. Atas nama keraian, perkara yang sepatutnya mudah jadi susah.

Makanan yang disediakan untuk kebanyakan majlis juga berat-berat dengan pelbagai masakan. Padahal, VIP yang datang sudah makan di tempat lain. Oleh kerana makanannya banyak, maka masa yang diambil untuk duduk dan makan juga lama. Sepatutnya, dia hanya perlu menjamah sepotong kuih dan seteguk air. Tidak sampai seminit, si VIP sudah boleh beredar ke sebuah majlis yang lain pula.

Kita juga membazir masa kerana menyukarkan penyampaian ilmu yang sepatutnya dipermudahkan. Lihatlah sahaja kebanyakan judul buku-buku ilmiah. Tajuknya sahaja sudah seseorang mengambil masa beberapa minit untuk memahaminya. Misalnya, buku 'Memotivasi Keintelektualan Fikrah Remaja,' boleh sahaja menjadi 'Membina Remaja Berfikir.' Sekali lagi kita menyukarkan sesuatu yang seharusnya mudah.

Seolah-olah, para intelektual di bidang masing-masing mahu mengeksklusifkan ilmu di kalangan mereka sahaja. Sehinggakan orang biasa yang ingin memahami sesuatu bidang itu bingung dan lambat memahami sesuatu bidang itu. Benar, sesuatu bidang ilmu itu mempunyai istilah-istilah yang khusus. Namun, apabila istilah-istilah biasa tidak digunakan, sebenarnya mereka yang di dalam bidang itu sendiri pun terbuang masa untuk memahami ilmu bidangnya sendiri.

Di dalam bidang perniagaan, sesebuah syarikat yang ingin menghabiskan stok dan meningkatkan keuntungan bukan sahaja menjual barangannya dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia menjalankan kempen membeli dengan kupon diskaun yang boleh ditukar dengan hadiah misteri (yang sebenarnya hanya kertas tisu), beli satu dapat dua dan belian dengan hadiah melalui gores dan menang (yang mana hadiahnya juga sepaket tisu). Andainya objektif asal adalah untuk menghabiskan stok dan meningkatan keuntungan, berilah sahaja diskaun yang besar tanpa gimik. Para pelanggan akan datang ke premis dan menghabiskan stoknya.

Kemajuan teknologi menjadikan pergerakan kita semakin pantas. Perjalanan darat dari satu tempat ke satu tempat yang memakan masa berjam-jam sudah menjadi beberapa minit sahaja melalui udara. Namun yang peliknya, semakin banyak masa dapat dijimatkan, kita semakin menyempitkan waktu dengan sikap kita sendiri.

Akibatnya kita kalah mengejar masa akibat kegagalan kita sendiri untuk berfikiran sejernih hablur dan bertindak selurus pena. Peredaran bumi yang mengakibatkan peralihan siang dan malam itu tidak pun berputar semakin laju. Kalau kita merenung jarum saat jam di dinding, pergerakannya masih konsisten seperti lazimnya.

Tetapi, oleh kerana sikap kita yang suka menyukarkan yang mudah, kita sendirilah yang mengheret langkah kaki dan memperlahankan tindakan. Padahnya, apa yang simple jadi bersimpul, yang lurus jadi berselirat, yang senang jadi sukar dan yang jernih jadi keruh.

- Artikel iluvislam.com

Kisah Kesabaran Ibrahim Bin Adham

Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu'anh. Kisah ini dipetik dan diolah kembali daripada kitab "Kanzul Minan 'Ala Hikami Abi Madyan", yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu'anh yang telah disusun/ diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera. Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera tersebut telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Sayyidi Ibrahim bin Adham langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.

Setelah kejadian tersebut berlaku dan Sayyidi Ibrahim bin Adham pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu, "Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau."

Tentera itu agak kehairanan dengan doa Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana perbuatan biadabnya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemaafan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu lantas bertanya kepada Ibrahim bin Adham, "Kenapa memaafkanku wahai tuan?"

Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham, "Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau dan aku bersabar dengannya, maka aku akan dimasukkan ke dalam syurga. Maka seharusnyalah aku berterima kasih kepada engkau. Justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau."

Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.

Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta'ala. Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh para 'ulama dan awliya' yang semuanya pada hakikatnya adalah merupakan limpahan daripada cahaya Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.

Wallahu'alam.

- Artikel iluvislam.com

Faceblog

Assalam kengkawan...den tengok kat bloglist den adalah tentang kawan2 tulis tentang faceblog nie...den dah buka blog 2....admin nak kumpul kan semua bloggers yang ada kat malaysia nie join...ala2 macam facebook lak kan...den ok jer....yang penting den suka gemar sangat2 warna eh...pinky sungguh....he he he....

Jom join kawan2.....layari faceblog nie.....