Created by MyFitnessPal - Free Weight Loss Tools

Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

3/30/12

Berbahagialah Wahai Anak-Anak Sulung

"Adik-adik dapat semuanya, dulu saya tak dapat apa pun!"
"Kenapa adik A dapat laptop? Baru tingkatan empat! Dulu saya beli laptop di universiti guna duit biasiswa!"
" Yelah, dulu saya jalan kaki je dalam kampus, adik B boleh pula mama belikan dia kereta!"
"Sampai hati ayah, tiap-tiap hari 'topup'kan untuk adik C. Untungla dia, bukan mcm aku."
"Menyampah aku tgk adik D, mama asyik urutkan kaki dia je. Kaki aku ni lenguh-lenguh tak de pulak aku mengada-ngada macam dia!"
"Tak adil betul mak dan ayah, saya bertunang dulu tak buat besar-besaran macam adik E pun!"
"Aku pun jarang balik juga, tapi mak asyik masakkan masakan kegemaran adik F je. Benci".
Ungkapan ini selalu kita dengar dari mulut anak-anak sulung kan?
Kenapa selalu terjadi begini?
Sedangkan jarak umur tidak begitu jauh, kadang-kadang kita dengan adik-adik selang setahun sahaja. Sedangkan kita pun belajar rajin-rajin untuk ambil hati mak ayah kita.
Sedangkan kita pun berlumba-lumba buat baik untuk dapat secebis perhatian mereka.
Sedangkan kita pun berusaha untuk penuhi segala impian ibu bapa kita.
Sedangkan kita tak putus-putus doakan mereka, dalam doa, setiap ingatan adalah untuk mereka.
Pendek kata semuanya, segalanya telah kita cuba lakukan untuk menawan hati mereka.
Tapi, kita masih berasa gagal, berasa ibu bapa kita tidak adil, pilih kasih, dan suka melebih-lebihkan adik-beradik yang lain!
Kenapa ya?
Wahai anak-anak sulung dan mungkin sulung.
Bersabar banyak-banyak ya. Sebenarnya inilah peluang kita untuk mengadu pada Allah sebanyak-banyaknya, betapa sedih hati kita, betapa kecewanya kita dengan sikap ibubapa kita. Jangan risau anak-anak sulung, Allah Maha Menghitung, setiap niat di hati kecil kita, setiap apa yang kita usahakan, setiap kebaikan yang kita cuba lakukan, semuanya Allah hitung. Jika mereka tidak memandang, jika mereka tidak sebut-sebut, anggap sahaja usaha itu sebagai percubaan kita untuk membalas jasa mereka yang tidak ternilai besarnya di dunia ini. Tidak rugi kita membuat kebaikan pada mereka, malah Allah janjikan syurga bagi mereka yang berbuat baik pada ibubapa. Mereka berdua ialah insan yang paling banyak menggembirakan kita sewaktu kecil dulu. Mereka berdua ialah insan yang paling gembira semasa kita dilahirkan ke dunia ini. Besarnya jasa mereka tetap tidak dapat kita balas walau dengan segunung emas. Apalah kecilnya kebaikan kita jika hendak dibandingkan dengan susah payah mereka dahulu??
Anak-anak sulung yang disayangi Allah..
Lihat ke belakang, mungkin ada silap kita yang menyakiti hati mereka tanpa kita sedari?
Mungkin kata-kata kita selalu pedas? Atau terlalu banyak bunga-bunga 'api' dalam kata-kata kita kepada mereka?
Mungkin ada perbuatan kita yang terus-terusan membuat mereka benci atau ada sikap kita yang membuatkan mereka 'fed-up' dan rimas? Pengotor, atau suka marah-marah?
Mungkin kita suka mengungkit-ungkit kebaikan yang kita lakukan pada mereka?
Cuba muhasabah kembali apa sikap yang ibubapa kita benci? Atau risik-risik pada adik-beradik yang menjadi 'anak emas' mereka, manalah tahu kalau-kalau ibubapa kita mengadu pada mereka. Sekurang-kurangnya kalau sudah jelas, boleh juga kita cuba berubah. Ya tak? Cubalah.
Peralihan zaman juga mungkin sebabnya. Dulu, ibubapa kita susah, gaji tidaklah sebesar gaji sekarang. Nak makan di luar pun susah, apatah lagi nak bermewah-mewahan. Tapi sekarang, adik-adik beruntung, apa sahaja yang di'godek-godek' pada ibu, semuanya akan dibeli. Apa saja yang di'ngomel-ngomel' pada ayah, terus boleh dapat. Betul kan?
Sebenarnya kita bertuah.
Bertuah kerana Allah telah memilih kita bersama-sama mengharungi hidup 'susah' dahulu dengan ibubapa kita. Mungkin waktu itu adik-adik kita masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Mereka terlepas saat-saat sukar yang mengikat hati, menambah sayang kita pada ibubapa kita. Kita menyaksikan 'kesusahan' mereka di depan mata kita, membuatkan kita nekad untuk memberi yang terbaik dalam hidup kita untuk mereka. Adik-adik merasai kemewahan hari ini tanpa melalui 'kesusahan' dahulu, itu rezeki mereka. Percayalah, rezeki kita tetap ada. Allah kan Maha Adil?
Bertuah lagi sebab kita tidak menyusahkan ibubapa kita dengan meminta itu dan ini. Tidak memberatkan mereka dengan permintaan kita, walaupun ibubapa kita mampu. Kita anak-anak sulung yang baik, meringankan ibubapa kita. Nak meminta-minta tak sampai hati, kan? Mereka pun tak pening kepala nak penuhi permintaan kita. Bertuah kan kita?
Ada lagi bertuah? Bertuah lagi sebab ibubapa kita sebenarnya menganggap kita sudah pandai berdikari dan boleh menguruskan diri. Anak sulung hatinya kuat. Apa sahaja boleh dibuat. Sayang adik-adik, selalu mengalah. Sayang ibubapa, selalu menolong apa sahaja, sebab kita besar daripada adik-adik. Sebab itu ibubapa kita kurang memberi-beri pada kita, baik pada kasih sayang, mahupun material. Kita kan anak sulung yang hebat??
Buat anak-anak sulung yang memang Allah kasihi,
Sesungguhnya setiap manusia diuji dengan ujian yang berbeza. Bukan kita sahaja yang diuji sebegini, ramai lagi yang lebih hebat ujiannya. Ada mereka yang tidak pernah merasa kasih sayang ibubapa sejak lahir lagi. Cukuplah ibubapa kita telah berjaya membesarkan kita, merasa kasih sayang mereka sejak kita kecil. Ibubapa kita juga manusia, tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Mana ada ibubapa yang bencikan anak, cuma kadang-kadang mereka terlepas pandang anak sulung mereka ini, atau mereka sedang berkecil hati dengan kita. Maafkanlah mereka, bersangka baik dan jangan berhenti membuat kebaikan kepada mereka. Jangan sesekali menghitung kebaikan kita kepada mereka. Jadilah anak sulung yang cekal, baikhati dan sentiasa berserah segalanya pada Allah. "Sayang ibu berkorban nyawa, sayang ayah berkorban jiwa". Terus kuat ya anak-anak sulung!
- Artikel http://www.iluvislam.com
Nurulhuda Ghazali Merupakan seorang surirumah sepenuh masa berijazah perakaunan.
Semua orang didunia ini suka apabila merasakan diri mereka bijak. Ya, sememangnya manusia adalah makhluk yang bijak kerana mempunyai akal yang mampu untuk membuat pertimbangan. Akal yang bijak sudah semestinya lahir daripada otak yang cerdas. Jadi bagaimanakah cara anda menjaga otak untuk membantu menjadi orang yang lebih bijak?
Mengambil sarapan pagi- Ramai pakar kesihatan menyatakan bahawa sarapan adalah penentu kepada kualiti persembahan anda untuk sepanjang hari tersebut. Ini menunjukkan bahawa pentingnya mengambil sarapan didalam kehidupan seseorang. Seseorang yang tidak mengambil sarapan akan menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. Faktor ini akan menyebabkan banyak sel-sel otak akan mati dan akan menjadi kurang aktif.
Elak makan secara berlebihan- Orang yang bijak biasanya amat menitikberatkan terhadap pemakanan mereka. Ini kerana jika seseorang makan secara berlebihan akan menyebabkan banyak darah akan dialirkan pada bahagian usus dan perut untuk tujuan pencernaan. Ini menyebabkan kekurangan darah yang akan sampai ke otak dan akan mengakibatkan seseorang itu malas, mengantuk dan hilang daya fokus.
Elak merokok- Asap rokok sangat merbahaya kerana mempunyai terlalu banyak bahan kimia yang sebenarnya akan merosakkan sel-sel otak anda.
Elak daripada mengambil gula secara berlebihan- Pengambilan gula yang berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Ia juga akan mengganggu perkembangan otak anda yang akan menyebabkan anda menjadi seorang yang kurang bijak.
Hidu udara yang bersih-  Otak merupakan pengguna oksigen terbesar dalam sistem badan manusia. Menghidu udara yang segar akan membantu untuk mencerdaskan lagi otak serta membaiki sel-sel otak yang rosak.
Tidur secara berlebihan- Tidak dinafikan tidur adalah cara terbaik untuk merehatkan otak seseorang. Tetapi sekiranya ia dilakukan secara berlebihan, ia akan menyebabkan otak menjadi kurang aktif dan secara tidak langsung akan melemahkan daya berfikir seseorang.
Tidur dengan menutup muka- Tidur dalam keadaan meniarap atau mencekup muka dengan bantal, buku, lengan atau sebagainya akan menyebabkan gas karbon oksida terperangkan dan akan dihidu semula. Ini akan menyebabkan otak kekurangan oksigen serta merosakkan sel-sel otak seseorang.
Kurang berimaginasi/berfikir- Sesuatu barangan yang jarang digunakan sudah pasti akan mempengaruhi tahap persembahan sebenar yang mampu dilakukan. Begitu juga dengan otak, sekiranya ia jarang untuk diasah ataupun dilatih, ia akan menyebabkan pemikiran seseorang itu menjadi tumpul dan mereka akan menjadi kurang bijak.

- Artikel iluvislam.com

Khairul Amnan Bin Osman Merupakan seorang fulltime blogger. Beliau berkongsi karya dihttp://www.top5reason.com/.


1/24/12

Tudung Labuh Itu Kolot?

Selepas UPSR, saya di hantar ke sekolah agama oleh ibu bapa. Bukan atas kehendak sendiri. Saya juga tidak membantah. Hanya kerana sepupu perempuan saya turut belajar di situ, saya tidak keberatan.

Saya juga pernah menghadiri temuduga untuk memasuki Kospint yakni Imtiaz sekarang. Hampa kerana tidak terpilih.

Seperti yang umum maklum, belajar di sekolah agama menuntut pelajar perempuan memakai tudung labuh. Saya ketika itu masih belum faham kenapa perlu memakai tudung labuh.

Adakah tudung segi tiga masih belum menutup aurat?

Tetapi, soalan itu hanya berlegar di fikiran. Tidak pernah diluahkan dan tidak pernah dikaji.

Timbul rasa jengkel juga di hati, '"selekehlah pakai tudung labuh", "nampak gemuk", "tak smart langsung".

Oleh sebab itu, apabila diadakan aktiviti sukan atau apa-apa aktiviti di luar waktu persekolahan, saya akan menyarung tudung segi tiga biasa menggantikan tudung besar itu. Saya kurang rasa bersalah kerana senior juga begitu.

Tiada lagi tudung labuh apabila menghadiri latihan kawat pada waktu petang, atau latihan untuk hari sukan kerana tiada seorang pun guru yang menegur. Kalau ada pun, bukan saya yang ditegurnya. Saya rasa selamat untuk memakai tudung segi tiga.

Begitu juga apabila keluar dari asrama, selain daripada outing pada waktu persekolahan, terutama apabila bersiar-siar dengan keluarga atau kawan-kawan, saya tidak pernah sekalipun memakai tudung labuh sekolah apatah lagi mahu mempunyai koleksi tudung labuh yang lain. Sungguh waktu itu, tudung labuh bagi saya adalah kolot. Ketinggalan zaman.

Bermula dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga, tiada input yang saya dapati sama ada dalam waktu persekolahan atau selepas waktu persekolahan berkenaan kebaikan memakai tudung labuh. Tiada sesiapa pun yang menceritakan kepada kami mengapa para pelajar perempuan di sekolah ni diwajibkan pakai tudung labuh.

Yang ada hanya guru yang menyindir kami dengan kata-kata:

"Korang ni bila kaki dah langkah luar pagar sekolah, tudung labuh entah ke mana, baju ketat, seluar ketat, tudung kecik". Saya hanya mencebik. Apa salahnya tudung kecil!

Di mata saya tudung labuh hanya dipakai oleh ustazah. Tetapi, pemikiran itu berubah sedikit apabila guru Sains saya memakai tudung labuh juga. Tetapi, saya malas memikirkan tentang perihal tudung labuh ini.

"Yang penting aku dah tutup aurat sepenuhnya, ok lah".

Meskipun spotcheck tudung selalu dilakukan, kami tidak pernah serik. Undang-undang sekolah kami tidaklah seketat sekolah agama yang gah dan hebat yang lain. Tudung pelajar perempuan tidak boleh atas daripada paras siku.

Peraturan ini boleh diterima lagi kerana ada sekolah yang mewajibkan tudung pelajarnya mesti bawah pergelangan tangan. Tetapi, para pelajar yang "rimas" telah dididik oleh para senior supaya memendekkan tudung dalam erti kata yang lain, tudung yang labuh diubah suai agar ianya atas daripada siku.

Bagi kami, tudung sebegini nampak lebih kemas. Stok tudung labuh tetap ada untuk kecemasan yakni spotcheck. Hanya dipakai apabila tersebar khabar angin bahawa pagi itu akan dilakukan spotcheck.

Usai keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke sebuah MRSM di pantai timur. Alhamdulillah. Bolehlah keluar dari kongkongan sekolah agama ni. Mimpi saya ialah peraturan akan lebih longgar, pelajar boleh pakai apa-apa sahaja yang disukai, ber'couple' tidak akan jadi halangan, pendek kata moden.

Tetapi, impian itu bertukar 180 darjah. Kami diwajibkan solat Subuh, maghrib dan Isyak secara berjemaah, diwajibkan memakai stoking apabila keluar dari asrama, dilarang ber'couple', tidak boleh memakai scarf kepala yang menutup hanya separuh, track suit yang mencekik di bahagian bawah dilarang sama sekali, handsock diwajibkan.

Tambahan lagi, di dalam kelas pelajar perempuan mestilah duduk belakang pelajar lelaki menyerupai saf dalam solat, tudung yang jarang akan dihukum, tudung yang tidak melebihi bahu akan di denda, seakan-akan peraturan bertambah ketat berbanding sekolah agama saya dahulu.

Dan tentunya peraturan ini sebenarnya telah termaktub sebagai perintah Allah S.W.T sendiri. Cuma tidak diperincikan sahaja. Allah S.W.T menyuruh kita menutup seluruh anggota badan kecuali tangan dan muka. Maknanya, kaki juga aurat wahai diri. Peraturan ini dianggap mengongkong bagi pelajar yang jiwanya masih terbelenggu dengan dosa termasuk saya.

Tetapi, Alhamdulillah jauh di sudut hati saya, saya mengagumi peraturan ini. Seolah-olah Allah S.W.T ingin menjaga kami para pelajar wanita daripada terjerumus dalam dosa. Allah S.W.T ingin menjaga kami daripada pandangan jahat lelaki berhati kotor. Allah S.W.T ingin mendidik kami ke arah lebih solehah.

Bermulanya detik saya mengenali Allah S.W.T lebih dekat. Majlis-majlis ilmu yang dihadiri mula membuka hati saya yang tepu dengan dosa. Selain itu, ada beberapa senior yang bertudung labuh yang membuatkan hati saya terdetik:

"Kenapa mereka memilih pakai tudung labuh sedangkan MRSM tidak mewajibkan pelajarnya bertudung labuh".

Kagum. Mereka satu dalam sejuta. Permata di celahan kaca.

Satu kejutan apabila melihat seorang sahabat yang baru dikenali ketika orientasi yang pada awalnya bertudung segi tiga secara drastik bertukar kepada tudung labuh. Lalu, saya bertanya mengapa. Beliau dahulu bersekolah agama, ceritanya lebih kurang seperti saya.

Katanya, hatinya terdetik untuk berubah apabila menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zolkolnain Singah, ustaz yang kami kagumi, berkenaan mayat seorang lelaki yang berusia 18 tahun di Timur Tengah yang digali semula selepas tiga jam untuk dibedah siasat. Meskipun hanya tiga jam berada dalam liang lahad, mayatnya hampir tidak dikenali.

Rambutnya beruban, mulutnya dipenuhi darah, riak wajahnya ketakutan seolah-olah baru melihat sesuatu yang dahsyat, matanya tersembul keluar, tulang rusuknya patah seolah-olah dipukul oleh sesuatu, badannya dipenuhi darah dan lebam kesan paluan! La haulawala quwwata illa billlah.

Ayahnya memaklumkan apabila ditanya bahawa anaknya itu sepanjang hidupnya tidak pernah solat, minum arak, dan berzina. Lalu terdetik dalam hati sahabat saya andai kata beliau mati, apakah sudah bersedia dengan amalan yang dilakukan?

Adakah auratnya sudah sempurna ditutup?

Perubahan yang dirasakan agak payah tetap dilaksanakan demi kematian yang bakal menjelma. Ya, sahabat sekeliling memandangnya dengan kehairanan. Tetapi, semangatnya utuh.

Di awal tahun tingkatan lima, kami diwajibkan menyertai Kem Jati Diri yang menuntut kami beraksi lasak. Memanjat, berkayak, berenang dalam lumpur, berlari, mengangkat beban, denda kami adalah push up.

Saya terfikir bagaimana sahabat saya yang bertudung labuh itu menghadapi semua ini. Bayangkan dalam lumpur, dengan tudung labuhnya, dia masih kental beraksi. Saya kagum.

Lalu, saya mula mencari sebab kenapa perlu bertudung labuh. Allah S.W.T telah mengilhamkan. Meskipun saya bertudung seperti kebanyakan orang lain, yakni tudung segi tiga yang bagi saya sudah menutup aurat, tetapi saya berasa rimas dan takut untuk berada di hadapan lelaki.

Tudung saya tidak menutup sepenuhnya bahagian belakang. Seolah-olah mereka nampak apa yang sepatutnya mereka tidak nampak. Iaitu tali baju dalam. Maaf kerana agak peribadi. Tetapi ya, saya langsung tidak selamat. Apatah lagi jika memakai baju yang jarang dan nipis.

Satu lagi sebab, meskipun tudung saya melepasi dada, tetapi andai kata angin bertiup kencang, tudung akan terselak lalu dengan mudahnya dada kelihatan. Lalu saya meneliti kakak-kakak yang bertudung labuh, apabila tudung mereka ditiup angin, ia masih tidak menampakkan dada mereka. Kerana tudung itu labuh lalu ia menutupi bahagian sisi dada mereka. Subhanallah.

Ditakdirkan kami sekelas ketika tingkatan lima. Waktu itu saya mula mengubah cara pemakaian tudung sedikit demi sedikit. Daripada tudung bawal ke arah tudung cotton yang tebal.

Kemudian beralih ke tudung bidang 60. Terdetik juga mahu memakai shawl. Pendek kata saya masih mencari identiti. Tetapi di sekolah, saya tetap bertudung segi tiga kecil. Masih belum berani untuk konsisten.

Sehinggalah suatu ketika, entah kenapa, saya tiba-tiba teringatkan tudung labuh saya yang dipakai sewaktu sekolah agama dahulu yang kini hanya terperuk dalam almari. Lalu, saya meminta ibu mengirimkan tudung tersebut kerana saya mahu menjahit tudung labuh saya sendiri.

Bermakna saya mahu memakai tudung labuh. Keinginan itu disuarakan kepada ibu dan kepada sahabat saya tadi. Mereka gembira. Saya mendapat semangat. Lalu proses menjahit siap cuma tinggal mahu memakai ataupun tidak.

Tiba waktu prep, saya meminta roommate menemani saya menuju ke kelas. Alhamdulillah, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun waktu itu. Saya selamat tiba ke kelas. Pandangan pertama sahabat sekelas tidak akan dilupakan.

Rasa malu menyelubungi lalu saya menyendiri di satu sudut untuk seketika. Tetapi sahabat sekelas saya ibarat adik-beradik sendiri, mereka berpura-pura tidak perasan akan perubahan itu demi menjaga hati saya. Lalu, prep pun berjalan seperti biasa. Saya tidak rasa janggal lagi.

Bermula dari hari itu, beberapa sahabat juga telah mula bertudung labuh, tetapi kami masih golongan minoriti. Beberapa pelajar lelaki yang mungkin tidak tahu kerap mengusik dengan kata-kata yang lebih kurang, "kaya betul lah korang, banyak duit nak beli kain!", "boleh buat sapu lantai lah kalau macam ni", "wei, ustazah, ustazah!".

Ketika kami masih "diusik", Allah S.W.T telah menenangkan hati kami melalui tulisan Fatimah Syarha dalam kolum beliau menerusi majalah Solusi. Masih saya ingat tajuknya "Corat-coret Kisah Tudung Labuh".

Pengalaman Fatimah Syarha bertudung labuh menaikkan lagi semangat kami untuk istiqomah. Lalu, saya dan sahabat terus menfotostat kolum itu dan ditampal ke semua kelas. Sebagai usaha kami membela wanita yang bertudung labuh.

Kelegaan yang amat. Bermula dari hari itu, kami kurang menerima usikan-usikan mereka.

Terima kasih Allah S.W.T kerana memberi ilham kepada Fatimah Syarha untuk menulis tentang tudung labuh. Hebatkan Allah S.W.T!

Kuncinya hanya satu, jika kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Jika berubah kerana Allah S.W.T, tidak kira banyaknya dugaan, kita akan tetap konsisten. Insya-Allah.

Semoga pengalaman yang biasa ini dapat membantu.

Artikel iluvislam.com

9/9/11

Allah Ajarkan Rahmat di Sebalik Sakit

Insya-Allah sedikit coretan malam ini, pengalaman saya diajarkan ketika saya jatuh sakit di Mekah baru-baru ini. Masih saya ingat lagi, tanggal 9 Jun iaitu baru sahaja empat hari saya menjejakkan kaki ke bumi Mekah, saya sudah merasa tidak begitu selesa, sudah mula selsema.

Namun pada malam 9 Jun itu saya melalui satu proses yang cukup hebat betul-betul di hadapan Kaabah (saya berada tidak sampai dua kaki dari binaan Kaabah). Keesokkan harinya sakit saya menjadi lebih kuat, badan mula panas. Saya mula berdoa kepada Allah agar saya cepat sembuh dan dapat beribadah dengan lebih berkesan lagi. Masuk tanggal 11 Jun saya berusaha untuk membuat ubat penawar dengan menggunakan air zam-zam yang saya bacakan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah. Kebiasaannya, saya sering sembuh tidak berapa lama selepas itu. Namun saya yakin kekuatannya bukan terletak pada air itu tetapi pada keyakinan bahawa Allahlah yang menyembuhkan. Begitu juga yang sering saya katakan kepada kawan-kawan yang saya buatkan ubat penawar dari air zam-zam. Saya katakan kekuatan air itu sebagai penawar terletak kepada keyakinan kamu kepada Allah. Namun pada kali ini, air itu seolah-olah tidak mujarab lagi. Sakit saya tidak menampakkan seperti berkurangan malah badan saya bertambah lemah lagi. Kenapa ya? Begitu bodohnya saya bertanyakan sedemikian.

Saya berdoa lagi kepada Allah meminta agar saya segera sembuh. Namun saya tidak sembuh malahan makin parah. Masuk tanggal 12 Jun badan saya lemah tidak bermaya dan saya hampir tidak berani berjalan sendirian kerana saya rasa seolah-olah saya akan pengsan pada bila-bila masa sahaja. Dengan badan saya yang tidak bermaya itu akhirnya... Pengajaran turun dan saya memahami satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan. Saya mendapat petunjuk dari Allah yang tidak ternilai harganya. Namun untuk petunjuk itu turun, saya berada di dalam keadaan tidak bermaya, dan berada di dalam keadaan sakit hari keempat. Sekiranya saya sembuh pada hari ketiga di mana kondisi saya tidak selemah hari keempat itu, pengajaran tidak mampu diterima kerana pengajaran itu sangat berkaitan dengan keadaan badan yang lemah dan pada hari ketiga itu badan saya belum begitu lemah lagi.

Justeru itu mengajar saya untuk tidak meminta Allah menyembuhkan dengan segera. Sekiranya saya segera sembuh pada hari kedua atau ketiga sakit, saya akan 'miss' pengajaran yang sangat bermakna yang mutiara seisi dunia pun tidak dapat digunakan untuk membelinya. Justeru saya sudah faham kenapa Allah tidak menyegerakan saya sembuh. Allah ingin mengajar saya dan saya harus sakit sampai hari keempat untuk dapat memahami pengajaran penting itu dalam hidup saya. Doalah mohon yang terbaik dari Allah. Mungkin sakit itu lebih baik dari sembuh. Biarkan ia mengikut kehendak Allah. Namun itu tidak bererti kita tidak berusaha untuk sihat. Usaha itu perlu tetapi dari segi berdoa kepada Allah, tanyalah Dia yang mana terbaik. Mungkin di sebalik sakit itu ada Rahmat Allah yang begitu besar menanti kita. Kesimpulannya, apabila sakit, ucaplah Alhamdulillah... Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

-Artikel Iluvislam.com

p/s: buat den terpikir...mesti ada kekhilafan yang den buat selama nie....Ya Allah.....

7/6/11

"Eh, Kamu nak jadi ustazah ke?"

Hari itu adalah hari penyerahan kad laporan peperiksaan. Seperti biasa ibu bapa sibuk bertemu dengan guru-guru kelas dan guru-guru yang mengajar untuk mengetahui prestasi anak-anak mereka. Tiba-tiba datang rakan saya Ustazah Sal mengadu.

"Macam-macam perangai la parents ni!" rungut Sal

"Kenapa Sal?" Tanya saya

"Tu, ada mak pelajar saya tadi, anak dia dapat 96% untuk subjek Pendidikan Islam, dia bukannya bersyukur, tapi kata pulak kat anak dia.."

"Kata apa?" tanya saya ingin tahu.

"Sambil marah, dia sindir pada anak dia, "Eh, kamu nak jadi ustazah ke, dapat agama tinggi nih?" Mana saya tak sedih" kata Sal.

"Dah la tak syukur, pandang rendah pula kat subjek Pendidikan Islam, lepas tu, ingat jadi ustazah tu hina sangat ka" tambah Sal, lagi.

Saya perasan, memang Sal amat terkilan, saya pun terkilan. Ini bukan masalah menjatuhkan air muka seorang rakan, tapi soal sikap ibu bapa hari ini. Serta sikap segelintir masyarakat secara keseluruhannya. Pendidikan Islam dianggap tidak penting dalam senarai pencapaian akademik mereka. Biar Pendidikan Islam dapat rendah, asalkan subjek lain terutamanya Matematik dan Sains dapat tinggi. Baru masa 'depan' terjamin, fikir mereka.

Namun lebih jauh dari itu, terdetik di hati, Pendidikan Islam bukan sahaja untuk dikuasai semasa peperiksaan, bahkan matlamat sebenarnya adalah untuk diamalkan. Hari ini manusia memandang rendah pada pendidikan Islam sebab mereka melihat pendidikan ini menggunakan kacamata maddiyyah (kebendaan). Mereka lihat masa depan yang dekat. Tidak mencecah ke alam yang satu lagi.

Realitinya kini agak berbeza. Daripada sekian ramai pelajar-pelajar yang melangkah pergi sekolah, berapa ramai yang belajar kerana Allah. Sekurang-kurangnya untuk pendidikan Islam, tasawur Islam atau seumpamanya, berapa ramai yang ikhlas untuk mengamalkan ilmu serta mendakwahkan kepada orang lain.

Daripada sekian ramai ibubapa yang menghantar anak ke sekolah, berapa ramai yang mengharapkan anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah, bukan sekadar mengharapkan anaknya menjadi doktor yang hebat serta jurutera yang cekap.

Soalan yang saya sendiri tak mampu menjawabnya.

Saya teringat lagi hari penyerahan kad laporan itu. Memang tak dinafikan ramai ibu-ibu yang tidak bertudung, memakai jean, blaus dan seumpamanya. Tapi, namanya Islam. Ibu-ibu inilah yang akan dan sedang mendidik anak-anak muda generasi baru.. Salah satunya saya sapa:

"Assalamualaikum, puan!"

"Selamat pagi" jawabnya.

Terkedu saya dibuatnya.

- Artikel iluvislam.com

3/29/11

Kita Yang Makin Menyombong

Pada Hari Raya Aidil Adha yang lalu, isteri saya tidak memasak hidangan di pagi raya kerana untuk kali ini, kami inginkan dia bersama-sama bersolat di masjid berhampiran. Mudah-mudahan dia dapat menghayati keseronokan suasananya. Tidak perlu sibuk-sibuk mengacau lodeh atau menghiris ketupat sebagai juadah di meja hingga terkocoh-kacah ke masjid.

Belum pun jam 9.00 pagi, solat dan khutbah sudah selesai. Kami terus berkunjung ke restoran mamak. Mudah-mudahan ada beriyani ayam atau kambing yang terhidang buat santapan kami di pagi itu. Namun kesemua restoran mamak tidak membuka perniagaan. Kalau restoran mamak tidak dibuka, kami tidak berharap ada restoran Melayu yang berniaga pada hari raya.

Kisah di restoran

Setelah puas berpusing-pusing mencari kedai makan, kami singgah ke sebuah restoran makanan segera. Tidak ramai pengunjung kelihatan di situ melainkan tiga meja dipenuhi dengan pelanggan. Tetapi apabila saya melangkah ke kaunter, saya dapati hanya satu kaunter sahaja yang dibuka kerana hanya ada seorang sahaja petugas. Cepat-cepat saya berbaris di belakang tiga orang pelanggan. Tidak sampai seminit, ada tiga orang pelanggan lagi di belakang saya.

Hangat hati mula terasa. 'Kenapa hanya ada seorang petugas di restoran antarabangsa ini? Mana yang lain? Mengapa pengurus membenarkan mereka bercuti? Bukankah pada hari cuti umumlah lebih ramai para pengunjung yang akan datang menjamu selera?'

'Mengapa gadis yang bertugas lambat sangat melayani pelanggan di hadapannya? Dua lagi pelanggan di hadapan tentu akan membuat pesanan untuk sekurang-kurangnya 3-4 orang. Kalau seorang pelanggan mengambil masa lima minit, tentu dua orang akan mengambil masa 10 minit. Wah! Lama sangat, tu!' Hati saya mengarang cerita yang tak tentu fasal akibat naik darah.

Belum pun lima minit terpacak menanti giliran membuat pesanan, dua orang wanita muncul dari arah tempat duduk lalu terus menghimpit ke kaunter. Mereka adalah ibu dan anak berdasarkan wajah mereka yang serupa. Air muka mereka kelihatan keruh.

Si ibu terus membebel. Leterannya disambut oleh si anak. Saya mengagak yang mereka tidak puas hati dengan kelewatan mendapat pesanan setelah lama menanti. Sesekali saya terdengar perkataan 'perkhidmatan pelanggan' disebut-sebut oleh si ibu. Kata-kata itu disahut oleh si anak yang tidak kurang becoknya. Dalam diam, saya mengiyakan kata-kata mereka. Memang sepatutnya petugas itu dibahasakan. Pengurus restoran ini patut meletak jawatan!

Saya nampak si gadis yang bertugas mula hilang seri senyumannya. Malah, wajahnya sudah mencebir akibat dileteri. Kalau saya memakai kaca mata ketika itu, pasti saya nampak air mata yang bertakung di tubir matanya. Dia hampir menjerit meminta rakannya di dapur segera menyiapkan pesanan. Dan, dari tempat saya berdiri, saya nampak hanya seorang sahaja petugas yang menjadi tukang masak di dapur.

'Alahai, kasihannya mereka.' Detik hati saya. 'Apa kata kalau gadis itu adalah anak saya?'

Tiba-tiba, saya mula berasa kasihan terhadap kami semua sebagai pelanggan kerana menyombong lalu berpegang pada prinsip the customer is always right pada waktu sebegitu. Kasihan kerana kami marah pada sesuatu yang tidak akan mengubah keadaan. Kami tetap akan lambat menerima pesanan kerana kurangnya kakitangan yang bertugas. Lainlah jika kami bersingsing lengan dan turun ke dapur untuk memasak sendiri pesanan!

Sombong dan meyombong

Menyombong, bukannya sombong. Sombong adalah sikap kekal yang sebati dalam diri seseorang, sementara menyombong hanyalah lakonan. Kita selalu berlakon membawa watak orang yang sombong. Beraksi sombong untuk mempertahankan hak atau kehendak kita. Menyombong kerana mempunyai persepsi, orang lain tidak boleh memperkotak-katikkan kita kalau mempamerkan wajah serius dengan cebik bibir dan suara yang mendatar.

Sebab itu di jalanraya, ada di antara kita menyombong dengan tidak mengangkat tangan pun kepada pemandu di belakang bila hendak berpindah ke lorongnya. Tidak mahu kelihatan toya kerana berlemah-lembut. Menyombong kerana takut dihon oleh pemandu itu kalau kita berperangai molek. Di kompleks membeli-belah, apabila adik promosi telefon bimbit tampil menghulur brosur, kita buat-buat tak nampak akan kehadirannya. Menyombong kerana takut termakan ayat-ayatnya lalu terbeli telefon bimbit ketiga.

Pendek kata, bila kita berdepan dengan seseorang yang tidak kita kenali, maka lakonan sombong itu kita pamerkan sebagai defense mechanism atau mekanisme pertahanan agar orang lain segan dengan kita. Soalnya, mengapa kita defensif dengan menyombongkan diri? Ia berpunca daripada pengalaman-pengalaman buruk yang pernah kita alami.

Pengalaman dipermain, diperlekeh atau ditipu menjadikan kita lebih berprasangka terhadap seseorang yang baru dikenali. Su'u dzan, atau bersangka buruk terhadap seseorang akan menjadikan kita serik untuk membuka hati dan perasaan dengan mudah. Kita sanggup berperangai bengis dan berhati kering supaya orang yang berdepan dengan kita tidak berpeluang memanipulasi diri kita.

Memilih sikap menyombongkan diri sebagai cara kita berhati-hati ini sememangnya bagus. Tetapi, apabila lakonan ini sebati di dalam diri, ia sudah menjadi karektor. Apabila ia menjadi karektor, ia adalah peribadi diri. Kerana ia bukan lagi lakonan untuk menyombong, ia sudah menjelma sebagai sikap sombong diri. Topeng sudah melekat menjadi kulit wajah!

Kita tidak akan sedar dengan sikap buruk ini kerana setiap kali bercermin, kita akan lihat diri kita yang sama, iaitu yang baik dan elok. Sedangkan, bila orang lain melihat kita, mereka nampak diri kita yang hodoh. Ketika itu, meskipun kita berasa diri kita hanya berlakon sombong, sebenarnya orang lain yang melihat akan nampak diri kita yang benar-benar sombong kerana kita sudah menjiwai watak buruk itu.

Justeru itu, kita perlu mengamalkan sikap husnul dzan atau bersangka baik bila berdepan dengan orang lain, kerana ia akan memulihkan kita daripada penyakit yang tumbuh akibat terlalu bersandiwara di pentas dunia!

Sumber Grafik - wn.com

Biodata Kolumnis
Norden Mohamed merupakan Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian terbitan Grup Media Karangkraf. Sebelum ini beliau pernah menjadi Pengurus Besar Alaf 21 Sdn. Bhd. dan Pengurus Sumber Manusia Grup Media Karangkraf. Graduan UiTM dalam bidang Senireka Perusahaan ini pernah menyumbang bakti sebagai Setiausaha Kerja Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Beliau menulis di maafcakap.blogspot.com.

3/26/11

Gaji Bukanlah Segala-Galanya

Saya menemui Halim, seorang katerer sewaktu menghadiri sebuah majlis sambutan aidilfitri di rumah kenalan di pinggir Kuala Lumpur. Setelah berkenal-kenalan, baharulah saya tahu, dia jugalah katerer untuk majlis itu. Makanannya enak-enak. Para petugasnya pun ramai. Sekitar 20 orang untuk majlis sepanjang hari minggu itu.

Saya bertanya, mengapa mengambil petugas yang ramai. Padahal, pada saya, sepuluh orang petugas pun sudah memadai kerana para tetamu lebih selesa mengambil makanan secara layan diri. Lagi pun, majlis aidilfitri tidak begitu sesak seperti majlis perkahwinan di mana waktu kedatangan tetamu biasanya dihadkan sekitar empat jam. Suasana amat santai.

Kata Halim, dia tidak sampai hati untuk mengurangkan jumlah petugasnya walaupun ramai di antara mereka hanya pekerja sambilan kerana masing-masing sudah bersamanya lebih tiga tahun. Biarlah dia membayar lebih sedikit asalkan semua para pekerjanya dapat duit poket. Lagipun, mereka mesra sesama mereka seperti adik beradik. Daripada penerangannya, saya rasa Halim baik hati orangnya.

Mengikut Halim, masing-masing tahu tugas masing-masing. Dengan kecekapan dan kebiasaan melakukan kerja, yang lelaki dapat memasang empat khemah yang lengkap dengan kain hiasan bersama dengan kerusi dan meja bersarung dalam masa sejam. Yang perempuan pula pantas mengatur periuk, mangkuk, pinggan, piring serta sudu dan garpu setengah jam selepas itu.

"Untungnya abang kerana ada ramai pekerja yang cekap. Tetapi abang tak ada penyelia atau mandor ke, sampai kena selia sendiri?" soal saya. "Ketua bebudak tu dah berhenti sebelum puasa. Inilah sebabnya abang sendiri kena turun padang," jawab Halim. Kata-katanya itu mengkagetkan saya.

"Entahlah. Dia berhenti kerana dapat kerja dengan katerer lain. Di sana, dia dapat gaji lebih seratus ringgit daripada bekerja dengan saya. Saya nasihatkannya, supaya fikir habis-habis sebelum meletakkan jawatan. Tapi dia degil. Sudahnya, sayalah yang kena ganti dia buat sementara waktu, sebelum saya pilih salah seorang daripada pekerja yang ada untuk jadi penyelia," ujar Halim dengan panjang lebar.

"Baru sebentar tadi penyelia saya yang berhenti tu telefon merayu-rayu hendak bekerja semula." Kenyataan Halim itu menarik perhatian. "Kenapa?" tanya saya. "Katanya, walaupun gajinya di tempat baru bertambah seratus ringgit, nilai kerja yang terpaksa dia buat melebihi tiga ratus ringgit! Dia bukan sahaja menjadi penyelia tetapi mengambil tempahan daripada pelanggan, membeli barang basah dan pemandu pekerja! Di tempat saya, dia hanya arah-arah pekerja sahaja."

"Habis tu, abang nak ambil dia balik, tak?" Soalan saya dijawab dengan gelengan perlahan. "No way! Saya tak ambil dia kerana dia asyik memikirkan soal gaji. Padahal, gaji bukan segala-galanya," katanya lalu bangkit dan berlalu melayani para pengunjung.

Kata-kata Halim membuatkan saya berfikir. Lalu menyedari ada di antara kita terlalu mengutamakan gaji daripada lain-lain faktor. Apabila memohon kerja, perkara utama yang diambil kira adalah gaji. Syarikat mana yang menawarkan gaji lebih tinggi, di sanalah tempat kita pilih untuk bekerja.

Kita tidak memikirkan sama ada gaji yang diberi benar-benar setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Atau, gaji yang dijanjikan benar-benar akan diberi pada penghujung bulan. Apabila hendak bekerja di tempat baharu pun, faktor gaji juga yang asyik diambil kira sebagai faktor utama.

Soal sama ada jarak daripada rumah ke tempat kerja, teman-teman di tempat kerja, kemudahan-kemudahan pekerja, kepatuhan syarikat mengikuti hak-hak pekerja, bentuk kerja-kerja yang bakal dilakukan termasuk perangai bos, tinggal kabur di benak fikiran. Akhirnya, apabila mula bertugas dan kita berdepan dengan faktor-faktor lain seperti kemudahan syarikat, majikan, rakan sekerja, suasana kerja, bidang tugas, malah sempit atau luasnya meja kita, jauh atau dekatnya pejabat dengan tempat makan, maka baharulah terfikir bahawa soal gaji bukan faktor nombor satu.

Pada ketika itu, walaupun berasa kesal dengan keputusan yang diambil, kita tidak mampu mengubahnya kerana sudah terperangkap di dalam putaran sikap yang kita pilih sendiri. Jika kita cepat sedar, mudahlah kita berundur. Andainya kita lalai, maka gaji itu sepatutnya digunakan untuk membeli ubat hati.

- Artikel iluvislam.com

3/18/11

Wanita-wanita Perindu Syurga

Setiap insan tentunya mendambakan kenikmatan yang paling tinggi dan abadi. Kenikmatan itu adalah Syurga. Dalam Al Qur'an banyak sekali ayat-ayat yang menggambarkan kenikmatan-kenikmatan Syurga.

"(Apakah) perumpamaan (penghuni) Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang bertakwa yang di dalamnya ada sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamr (arak) yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang disaring dan mereka memperoleh di dalamnya segala macam buah-buahan dan ampunan dari Rabb mereka sama dengan orang yang kekal dalam neraka dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong-motong ususnya?" (Muhammad : 15)

Nikmatnya Syurga!

Di samping mendapatkan kenikmatan-kenikmatan tersebut, orang-orang yang beriman kepada Allah SWT kelak akan mendapatkan pendamping (isteri) dari bidadari-bidadari Syurga nan rupawan yang banyak dikisahkan dalam ayat-ayat Al Qur'an yang mulia, di antaranya :

"Dan (di dalam Syurga itu) ada bidadari-bidadari yang bermata jeli laksana mutiara yang tersimpan baik." (Al Waqiah : 22-23)

"Dan di dalam Syurga-Syurga itu ada bidadari-bidadari yang sopan, menundukkan pandangannya, tidak pernah disentuh oleh manusia sebelum mereka (penghuni-penghuni Syurga yang menjadi suami mereka) dan tidak pula oleh jin." (Ar Rahman : 56)

"Seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan." (Ar Rahman : 58)

"Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan penuh cinta lagi sebaya umurnya." (Al Waqiah : 35-37)

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam menggambarkan keutamaan-keutamaan wanita penduduk Syurga dalam sabda beliau :

" ... seandainya salah seorang wanita penduduk Syurga menengok penduduk bumi niscaya dia akan menyinari antara keduanya (penduduk Surga dan penduduk bumi) dan akan memenuhinya bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita Syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari dari Anas bin Malik radliyallahu 'anhu)

Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda :

Sesungguhnya isteri-isteri penduduk Syurga akan memanggil suami-suami mereka dengan suara yang merdu yang tidak pernah didengarkan oleh seorangpun. Di antara yang didendangkan oleh mereka : "Kami adalah wanita-wanita pilihan yang terbaik. Isteri-isteri kaum yang termulia. Mereka memandang dengan mata yang menyejukkan." Dan mereka juga mendendangkan : "Kami adalah wanita-wanita yang kekal, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita yang aman, tidak akan takut. Kami adalah wanita-wanita yang tinggal, tidak akan pergi." (Shahih Al Jami' nombor 1557)

Ciri-ciri Wanita Syurga

Isteri-isteri kaum Mukminin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tersebut akan tetap menjadi pendamping suaminya kelak di Syurga dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan yang diperoleh penduduk Surga lainnya, tentunya sesuai dengan amalnya selama di dunia.

Di antara ciri-ciri wanita ahli Surga adalah :

01Bertakwa

02Beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari kiamat, dan takdir yang baik dan buruk

03Bersaksi bahawa tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah, dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadlan, dan naik haji bagi yang mampu

04Ihsan, yaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah dan dia mengetahui bahwa Allah melihat dirinya.

05Ikhlas beribadah kerana Allah, tawakkal, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

06Gemar membaca Al Qur'an dan berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah ketika sendirian atau tidak dan berdoa kepada Allah semata

07Menghidupkan amar ma'ruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

08Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternak yang dia miliki

09Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10Berinfak, baik ketika lapang maupun dalam keadaan sempit, menahan amarah dan memaafkan manusia

11Adil dalam segala perkara terhadap seluruh makhluk

12Menjaga lisannya dari perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah)

13Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14Berbakti kepada kedua orang tua

15Menyambung silaturahmi dengan karib kerabatnya, sahabat terdekat dan terjauh



Demikian beberapa ciri-ciri wanita Ahli Syurga yang kami sadur dari kitab Majmu' Fatawa karya Syaikhul Islam Ibnu Tamiyyah juz 11 halaman 422-423. Ciri-ciri tersebut bukan merupakan suatu batasan tetapi ciri-ciri wanita Ahli Syurga seluruhnya masuk dalam kerangka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

" ... dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar." (An Nisa' : 13)

-Artikel iluvislam.com

3/6/11

Boleh Saya Ambil ?

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh dikatakan kepada pemilik wang syiling RM75,000 yang mengalami kemalangan di Kilometer 244 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas.

Menurut laporan akhbar-akhbar tempatan, orang ramai dikatakan berpusu-pusu menghentikan kenderaan mereka, sebahagiannya bukan untuk menolong mengutip dan mengembalikan wang yang berteraburan itu tetapi sebaliknya mengambil dan melarikan semua wang syiling yang dikutip.

Tentunya penghargaan wajar diberikan kepada mereka yang datang membantu tetapi bagi mereka yang mengambil kesempatan melarikan wang terbabit, kejadian seperti ini amat mendukacitakan dan jelas memperlihatkan betapa rakusnya nafsu keinginan kepada wang.

Mereka sama sekali tidak mengendahkan persoalan hukum. Demikian amaran Nabi Muhammad :

يأتي على المرء زمان لا يبالي المرء ما أخذ منه ، أمن الحلال أم من الحرام

Ertinya : Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi menghiraukan dari sumber mana diperolehi hartanya, sama ada dari yag halal atau yang haram ( Riwayat Al-Bukhari)

Lebih teruk dari itu, tiada lagi rasa 'malu' dan hiraukan kecederaan tuan punya wang yang berada di tempat yang sama. Mereka juga tidak menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri sehingga dilaporkan ada yang mengutipnya di tengah-tengah lebuh raya, sehingga terpaksa akhirnya pihak berkuasa menutup laluan bagi memastikan tiada kemalangan nyawa akibat kerakusan itu.

HUKUM BARANG JUMPA

Bayangkan di dalam Islam, setiap harta yang dijumpai dan tidak diketahui pemilik pun tidak boleh kita nikmati sebelum melalui proses tertentu. Harta yang ditemui tanpa dikethaui pemilik dinamakan 'Luqatah' di dalam ilmu Fiqh Islam.

Nabi menyatakan :

من وجد لقطة فليشهد ذا عدل أو ذوي عدل ولا يكتم ولا يغيب فإن وجد صاحبها فليردها عليه وإلا فهو مال الله عز وجل يؤتيه من يشاء

Ertinya : Barangsiapa yang menumpai sesuatu harta, maka wajiblah dia memaklumkannya ( bersaksi) dia menjumpainya kepada orang yang adil atau pihak berkuasa, tidak boleh sama sekali dia menyembunyikan dan menghilangkannya. Sekiranya dapat dijumpai pemiliknya wajiblah dia mengembalikan wang terbabit, jika gagal maka harta tadi adalah dikira milik Allah dan boleh disedeqahkan kepada sesiapa yang diingini." ( Riwayat Abu Daud )

Imam Al-Khattabi menghuraikan , ia hanya boleh dimanfaatkan oleh yang menjumpainya setelah mencari pemilik tersebut dalam tempoh satu tahun. ( Aunul Ma'bud, hlm 101).

Itu perbincangan hukum menjumpai harta dan panjang lagi perbincangannya dalam mazhab-mazhab Fiqh Islam, cuma dapat kita lihat betapa Islam mengajar umatnya agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam apa jua harta yang diterima. Malah yang dijumpai pun belum tentu boleh dimanfaatkan. Apatah lagi untuk mengganggap ia sebagai 'rezeki terpijak' atau 'durian runtuh'.

Jika demikian displin Islam dalam bab harta yang dijumpai, tentulah Islam sangat melarang sesiapa juga mengambil kesempatan mencuri, merompak dan melarikan wang yang tercicir akibat kemalangan sedang diketahui tuannya sedang dalam kesakitan.

Sebenarnya keadaan 'mengambil kesempatan' di atas sesuatu musibah dan kemalangan ini bukan hanya merujuk kepada kes di atas, tetapi telah banyak kali dapat kita baca disiarkan oleh media massa. Ada yang mengambil kesempatan semasa kebakaran, gempa bumi dan sepertinya, mereka mencuri barangan tuan rumah yang terpaksa ditinggalkan.

Teringat pernah diwartakan suatu ketika dahulu, bagaimana mangsa yang cedera parah dan yang maut akibat kemalangan dicuri dompet dan barangan berharga mereka yang terdapat di dalam kenderaan. Semuanya dilakukan oleh sebahagian penyamun dari kalangan orang ramai yang berkerumun yang kononnya ingin membantu, keadaan itu menyukarkan tugas polis untuk mengenal mangsa.

Tidak kurang juga yang merompak semasa demonstrasi dan yang lebih teruk pernah dilaporkan, seorang pegawai sukarela menangkap pelaku khalwat, menerima rasuah dan ada yang merogol mangsa ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah ibubapa mangsa. Begitu buruknya sifat dan sikap manusia seperti ini.

CERMINAN MASYARAKAT KITA?

Gambaran-gambaran di atas sebenarnya mampu memberikan sedikit idea berkenaan sikap sebahagian besar masyarakat kita hari ini. Sikap tidak amanah apabila berhadapan dengan peluang mendapat wang dan peluang mudah, dengan segera disambar tanpa menghiraukan kesan luka di dalam hati mangsa. Disebabkan oleh sifat sebegini rasuah masih gagal dihentikan, keterlibatan dalam skim cepat kaya, skim piramid dan pelbagai skim menipu masih terus berkembang dan mendapat mangsa. Semuanya disebabkan sifat kerakusan malas mengkaji dan tanpa ilmu yang menyubur, menyebabkan diri tersangkut di dalam jerat pendapatan kononnya cara mudah.

DOSA BERGANDA

Dosa bagi mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain adalah lebih besar berbanding dosa biasa. Merampas dan meragut sememangnya merupakan suatu dosa. Namun apabila ia dilakukan di ketika pemilik harta dalam keadaan cedera kemalangan sama ada di jalanraya atau kemusnahan di dalam rumah. Dosa penjenayah terbabit BERGANDA, KEHINAAN mereka di sisi Allah juga menjadi berganda.

Hal itu hampir sama seperti mengenakan caj penalti di ketika peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya, dan berada di dalam situasi yang benar-benar sukar. Dalam keadaan itu, pemberi pinjam sewajarnya memberikan waktu kelegaan bagi meringan beban peminjam dan bukan menjerut leher mereka dengan menambah hutang mereka dengan caj penalti yang membebankan. Ia adalah riba dan Ibn Qayyim menegaskan pengharamanya disebabkan kezaliman jelas yang terkandung dalam tindakan tersebut.

WAJIB PULANGKAN

Justeru, saya ingin menasihatkan mana-mana individu yang terlibat mengutip dan melarikan wang tercicir di dalam kemalangan di lebuhraya kelmarin, agar segera bertaubat dan memulangkan wang terbabit kepada pemiliknya walau ia bernilai beberapa ringgit.

Nabi bersabda :

لا يحل لمسلم أن يروع مسلما، إذا أخذ أحدكم متاع أخيه فليرده

Ertinya : Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menakutkan Muslim yang lain, dan apabila seorang kamu mengambil hak milik saudaranya yang lain, wajiblah dia memulangkannya kembali (Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud)

Nabi juga mengingatkan :

لا يحل مال امرئ مسلم إلا بطيب نفس منه.

Ertinya : Tidak halal harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim ( untuk diambil oleh orang lain) kecuali diizinkan olehnya ( Riwayat Ahmad, 5/72)

Tanpa memulangkan kembali, ia bakal menjadi suatu beban di dalam kuburan kelak. Ia amat jelas wang yang haram digunakan oleh mereka dan perlu disedari dosa tindakan itu berganda-ganda kerana sebab yang dinyatakan di atas.

KESIMPULAN

Kes kemalangan di lebuhraya itu hanyalah sebagai contoh kepada semua jenis insiden kemalangan yang lain. Amat perlu masyarakat kita diingatkan agar tidak sama sekali mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Walaupun sekali pandang, kes ini kelihatan kecil dan remeh tetapi hakikatnya ia adalah besar kerana memberi cerminan sikap masyarakat kita yang amat gersang dari pengisian rohani dan etika, sehingga tergamak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang. Ia juga membimbangkan kerana melambangkan sikap pentingkan diri sendiri sudah begitu hampir ke tahap kemuncak kejahatan kejahatan.

Jika demikian sikap mereka terhadap duit beberapa sen dan ringgit sahaja, bayangkan jika di hadapan mereka adalah wang yang lebih besar.

Pihak berwajib dan mana-mana pihak yang punyai kuasa sama ada di peringkat keluarga, masyarakat, negeri dan negara tidak boleh memandang ringan insiden ini kerana ia jelas memerlukan satu plan terbaik untuk merawat pembangunan kerohanian, integriti dan etika masyarakat.

Tidak dinafikan, ia juga mungkin manifestasi betapa terdesaknya masyarakat ketika menghadapi tekanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat dewasa ini. Tekanan yang semakin mendesak boleh mengakibatkan seseorang bertindak seperti hilang aqal.

Semoga kita semua mampu berperanan dalam ruang lingkup kuasa kita selain berteriak meminta pihak itu dan ini untuk bertindak. Jalan yang terbaik untuk memulihkan masalah ini adalah mulakan dengan diri dan keluarga sendiri.

Sekian

- Artikel iluvislam.com

2/26/11

10 Petanda Dia Jodoh Kita

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :

1. Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang Bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima Kita Seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa Jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami Diri Kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan Kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata Hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

- Artikel iluvislam.com

2/24/11

Jodoh: Mencari atau Menunggu

Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya, "Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu di sini.

Ramai yang keliru

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?

Jodoh – suatu ketentuan?

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3]

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir(Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk -semuanya dari Allah jua."

Lelaki itu berkata: "Tuan benar."

[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?

Usaha yang sebenarnya

Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - [HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

Jika sudah mampu

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.

Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - [Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.

Jika redha Allah yang dicari...

Sudah nampak apa yang harus dilakukan?

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'couple', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).

Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'couple'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]

- Artikel iluvislam.com

2/21/11

Apabila Yang Simple Jadi Bersimpul

Bertahun dahulu, di tempat kerja saya yang lama, saya bertanya seorang teman, "Jam berapa engkau sampai ke pejabat?"

Jawabnya, "Malam tadi aku tidur lewat sebab tengok bola. Pagi tadi aku terbangun lewat sebab bini aku tak kejutkan aku. Jalan ke pejabat jam sebab ada kemalangan. Kereta aku pulak semput dan mati enjin di tengah jalan..."

Keterangannya saya pintas dengan soalan, "Aku hanya nak tahu jam berapa engkau sampai ke pejabat. Itu aje!"

Perbualan di atas benar-benar terjadi. Ia menggelikan hati apabila saya teringat mengenainya. Ada orang suka bercakap lebih daripada yang sepatutnya. Mungkin, orang begini biasa menjawab soalan yang pendek dengan jawapan yang panjang kerana inginkan markah yang lebih ketika menjawab soalan peperiksaan. Tetapi, ia juga menggambarkan seseorang yang menyukarkan perkara yang mudah.

Mengapa kita perlu menyuap nasi dengan mengangkat tangan kanan ke belakang tengkuk untuk menyuap ke kiri mulut? Bukankah mudah jika kita terus menyuap nasi dari pinggan terus ke mulut? Sikap sesetengah daripada kita yang membelit sesuatu yang lurus ini memang pelik.

Meskipun ia bukan satu penyakit, namun jika direnungi, sikap menyukarkan perkara yang mudah itu adalah satu bentuk pembaziran masa, tenaga dan wang. Sebagai contoh, kita membazir masa dengan memanjang dan meleretkan percakapan. Dalam sesebuah majlis, kita yang memberi ucapan akan menyebut kesemua mereka yang kita anggap sebagai hadirin yang penting.

Kalau boleh, kesemua mereka yang bergelar Tan Sri, Datuk dan Datin disebut. Masalahnya, bila kita menyebut nama dan gelaran seseorang, kita khuatir mengecilkan hati orang yang tidak kita sebut. Akhirnya kita menyebut nama kesemua dif kehormat yang ada di pentas. Sepuluh minit terbuang begitu sahaja.

Walhal, jika kita memulakan ucapan dengan menyebut nama pengerusi majlis dan merangkumkan kesemua para dif kehormat sebagai para hadirin, itu sudah memadai dan tiada nama sesiapa pun yang tidak disebut atau tersasul gelarannya. Dengan cara itu, kita telah menjimatkan sepuluh minit dan tumpuan para hadirin dapat dikekalkan.

Sesuatu majlis yang seharusnya ringkas biasanya akan menjadi meleret-leret dengan upacara. Pemimpin yang datang untuk merasmikan majlis masih lagi diarak, dikompang dan dikepung dengan bunga manggar. Itu belum termasuk memotong riben ataupun menetak ais untuk mengeluarkan sebuah produk yang dilancarkan. Ais situ sendiri lebih gah daripada produk yang dilancarkan. Atas nama keraian, perkara yang sepatutnya mudah jadi susah.

Makanan yang disediakan untuk kebanyakan majlis juga berat-berat dengan pelbagai masakan. Padahal, VIP yang datang sudah makan di tempat lain. Oleh kerana makanannya banyak, maka masa yang diambil untuk duduk dan makan juga lama. Sepatutnya, dia hanya perlu menjamah sepotong kuih dan seteguk air. Tidak sampai seminit, si VIP sudah boleh beredar ke sebuah majlis yang lain pula.

Kita juga membazir masa kerana menyukarkan penyampaian ilmu yang sepatutnya dipermudahkan. Lihatlah sahaja kebanyakan judul buku-buku ilmiah. Tajuknya sahaja sudah seseorang mengambil masa beberapa minit untuk memahaminya. Misalnya, buku 'Memotivasi Keintelektualan Fikrah Remaja,' boleh sahaja menjadi 'Membina Remaja Berfikir.' Sekali lagi kita menyukarkan sesuatu yang seharusnya mudah.

Seolah-olah, para intelektual di bidang masing-masing mahu mengeksklusifkan ilmu di kalangan mereka sahaja. Sehinggakan orang biasa yang ingin memahami sesuatu bidang itu bingung dan lambat memahami sesuatu bidang itu. Benar, sesuatu bidang ilmu itu mempunyai istilah-istilah yang khusus. Namun, apabila istilah-istilah biasa tidak digunakan, sebenarnya mereka yang di dalam bidang itu sendiri pun terbuang masa untuk memahami ilmu bidangnya sendiri.

Di dalam bidang perniagaan, sesebuah syarikat yang ingin menghabiskan stok dan meningkatkan keuntungan bukan sahaja menjual barangannya dengan harga yang murah. Sebaliknya, ia menjalankan kempen membeli dengan kupon diskaun yang boleh ditukar dengan hadiah misteri (yang sebenarnya hanya kertas tisu), beli satu dapat dua dan belian dengan hadiah melalui gores dan menang (yang mana hadiahnya juga sepaket tisu). Andainya objektif asal adalah untuk menghabiskan stok dan meningkatan keuntungan, berilah sahaja diskaun yang besar tanpa gimik. Para pelanggan akan datang ke premis dan menghabiskan stoknya.

Kemajuan teknologi menjadikan pergerakan kita semakin pantas. Perjalanan darat dari satu tempat ke satu tempat yang memakan masa berjam-jam sudah menjadi beberapa minit sahaja melalui udara. Namun yang peliknya, semakin banyak masa dapat dijimatkan, kita semakin menyempitkan waktu dengan sikap kita sendiri.

Akibatnya kita kalah mengejar masa akibat kegagalan kita sendiri untuk berfikiran sejernih hablur dan bertindak selurus pena. Peredaran bumi yang mengakibatkan peralihan siang dan malam itu tidak pun berputar semakin laju. Kalau kita merenung jarum saat jam di dinding, pergerakannya masih konsisten seperti lazimnya.

Tetapi, oleh kerana sikap kita yang suka menyukarkan yang mudah, kita sendirilah yang mengheret langkah kaki dan memperlahankan tindakan. Padahnya, apa yang simple jadi bersimpul, yang lurus jadi berselirat, yang senang jadi sukar dan yang jernih jadi keruh.

- Artikel iluvislam.com

Kisah Kesabaran Ibrahim Bin Adham

Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu'anh. Kisah ini dipetik dan diolah kembali daripada kitab "Kanzul Minan 'Ala Hikami Abi Madyan", yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu'anh yang telah disusun/ diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera. Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera tersebut telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Sayyidi Ibrahim bin Adham langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.

Setelah kejadian tersebut berlaku dan Sayyidi Ibrahim bin Adham pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu, "Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau."

Tentera itu agak kehairanan dengan doa Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana perbuatan biadabnya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemaafan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu lantas bertanya kepada Ibrahim bin Adham, "Kenapa memaafkanku wahai tuan?"

Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham, "Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau dan aku bersabar dengannya, maka aku akan dimasukkan ke dalam syurga. Maka seharusnyalah aku berterima kasih kepada engkau. Justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau."

Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.

Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta'ala. Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh para 'ulama dan awliya' yang semuanya pada hakikatnya adalah merupakan limpahan daripada cahaya Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.

Wallahu'alam.

- Artikel iluvislam.com